Keadaan terjamin, tiada tangkapan baru ISA – Syed Hamid

13 09 2008

Keadaan terjamin, tiada tangkapan baru ISA – Syed Hamid
13-09-2008 08:55:05 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

Syed Hamid AlBar

Syed Hamid AlBar

TUMPUAN… Datuk Seri Syed Hamid Albar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur petang tadi bagi mengesahkan pembebasan Tan Hoon Cheng, wartawan Sin Chew Daily yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri . Tan, 33, yang dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi tadi, dibebaskan pada kira-kira 2.30 petang. Tan ditahan polis Bukit Aman di rumahnya di Alma, Bukit Mertajam malam tadi untuk membantu siasatan berhubung laporannya mengenai ucapan bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang mencetuskan isu perkauman. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, mengambil kira keadaan semasa, pihak berkuasa tidak membuat penahanan lain di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Kita dah buat tangkapan dan setakat ini, tiada lagi tangkapan lain yang akan dibuat,” kata beliau pada sidang media di Bukit Aman petang ini.

Semalam, pihak polis telah menahan tiga individu iaitu pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin; wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok di bawah ISA.

Ketika dihubungi pagi tadi oleh mStar Online, Syed Hamid berkata, pihak polis akan menilai keadaan semasa bagi menentukan keperluan membuat tangkapan dan penahanan susulan.

Syed Hamid berkata, ketiga-tiga mereka ditahan kerana pihak polis mempunyai alasan yang cukup kuat untuk mempercayai bahawa tindakan mereka sebelum ini boleh mencetuskan konflik yang membahayakan ketenteraman awam jika tindakan tidak diambil segera.

“(Tangkapan) Raja Petra, kita telah cukup berikan beliau amaran dan disiasat di bawah pelbagai akta tetapi beliau terus melakukan aktiviti (penerbitan artikel) yang mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat.

“Teresa (Kok) juga menyentuh isu sensitif iaitu mempersoalkan laungan azan yang sepatutnya dihentikan di waktu pagi.

“Tentang wartawan itu pula, beliau adalah individu yang mula-mula menulis tentang kenyataan Datuk Ahmad Ismail (Ketua Umno Bukit Bendera) yang kemudiannya disiarkan oleh akhbarnya sehingga ia diperdebat dan dipolemikkan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Syed Hamid berkata, Tan bagaimanapun telah dilepaskan kira-kira pukul 2.30 petang tadi kerana pihak polis telah berpuas hati dengan hasil soal siasat yang dijalankan terhadapnya.

“Manakala, yang dua lagi (Raja Petra dan Teresa) akan disambung siasatan terhadap mereka dan kita akan lihat apa hasilnya nanti.

“Jika tiada alasan untuk menahan mereka, mereka akan dilepaskan dalam masa 60 hari. Jika tidak, kes mereka akan diajukan kepada Kementerian (Dalam Negeri) untuk tindakan yang sepatutnya di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.

Ketika ditanya mengapa Tan tidak hanya dipanggil untuk disoal siasat tanpa perlu ditahan di bawah ISA, Syed Hamid berkata, Tan adalah sebahagian daripada konflik yang tercetus dan penahanannya di bawah ISA merupakan langkah yang terbaik yang dikenal pasti oleh polis.

Katanya, pihak polis telah bertindak di bawah bidang kuasa mereka tanpa merujuk kepadanya.

“Memang mereka ada memberitahu saya tentang tindakan yang mereka akan lakukan tetapi saya tidak terlibat dalam keputusan mereka dan saya tidak boleh terlibat dalam sebarang keputusan yang mereka ambil,” katanya.

Syed Hamid berkata, dalam negara yang berbilang kaum dan budaya, kadangkala interaksi antara kaum boleh menjadi rapuh.

Justeru katanya, pihak polis tidak boleh menunggu sehingga ia menjadi semakin teruk sebelum mengambil tindakan.

Ditanya mengapa tindakan di bawah ISA tidak turut dikenakan terhadap Ahmad, Syed Hamid berkata, Ahmad telah dikenakan hukuman oleh Umno iaitu digantung keahliannya selama tiga tahun dan beliau juga sedang disiasat berikutan beberapa laporan yang dibuat oleh beberapa pihak ke atasnya.

Syed Hamid turut semua pihak melihat penahanan tiga individu itu sebagai isu yang melibatkan keselamatan negara dan bukan atas dasar perkauman.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: